Data Bukti Kerajaan Selesa Dengan Kenaikan Harga Minyak Mentah

•June 15, 2008 • Leave a Comment

Kenal Lambang Ini???
Fakta Keuntungan Petronas oleh Sheih Kickdefella

Data daripada Bank Negara Malaysia dan Pembendaharaan Negara membuktikan bahawa Kerajaan sebenarnya selesa dan mewah akibat kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Data Pembedaharaan menunjukkan kenaikan pendapatan hasil kerajaan melonjak semenjak Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara dan lonjakan ini adalah disebabkan kenaikan hasil yang diperolehi kerajaan menerusi


• Cukai Langsung dari Cukai Pendapatan Syarikat Petroleum yang meningkat dari RM 11.5 B pada tahun 2004 kepada RM 20.7 B dalam tahun 2006.

• Cukai Tak Langsung dari Duti Eksport Petroleum yang meningkat dari RM 1.5 B pada tahun 2004 kepada RM 2.3 B pada tahun 2006.

• Hasil Bukan Cukai – Dividen Petronas daripada RM9.1 B dalam tahun kewangan 2004 yang melonjak 100% kepada RM18.0 B pada tahun berakhir 2006.

• Hasil Bukan Cukai – Royalti Petroleum dan Gas yang meningkat dari RM2.5 B pada tahun 2004 kepada RM4.2 B pada tahun 2006.
(Data di atas diperolehi dari sumber Pembedaharaan Negara dan boleh di lihat umum di http://www.treasury .gov.my/view. php?ch=24&pg=183&ac=1443&fname=attachment&dbIndex=0).

Kenaikan pendapatan kerajaan ini adalah berkait rapat dengan keuntungan besar yang diperolehi oleh syarikat Petroleum terutamanya Petronas yang mengaut keuntungan terus daripada kenaikan harga pasaran minyak mentah dunia.

Bagaimanapun, Data daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi tidak melonjak dengan ketara akibat daripada kenaikan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Data Bank Negara menafikan hakikat yang cuba diutarakan oleh kerajaan bagi menaikan harga bahan bakar untuk kenderaan di Malaysia.

(Data Bank Negara boleh di lihat di http://www.bnm. gov.my/files/ publication/ msb/2007/ 11/pdf/6. 3.pdf)

(Walaupun data berakhir pada tahun 2006, tetapi kita boleh bayangkan trend di antara kenaikan harga minyak dan peningkatan perolehan kerajaan apabila pasaran minyak mentah dunia terus melonjak pada tahun 2007 dan 2008.)



Data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan pada tahun 2004, Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.8 B untuk segala subsidi iaitu termasuk subsidi bahan bakar, subsidi bahan makanan dan lain-lain.

Pada tahun 2005, perbelanjaan kerajaan bagi tujuan subsidi bagaimanapun meningkat hampir 3 kali ganda kepada RM13.4 B tetapi perbelanjaan untuk subsidi bagaimanapun menurun semula pada tahun 2006 kepada hanya RM10.1 B bahan bakar mula timbul. sedangkan mulai 2006 desas-desus dalam kerajaan untuk menamatkan pemberian subsidi

Walaupun kenaikan pendapatan hasil kerajaan dari sumber Petroleum meningkat dengan mendadak yang membuktikan hasil kerajaan turut meningkat setiap kali harga minyak mentah dunia meningkat, tetapi subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak meningkat pada peratusan yang sama.

Kerajaan membiarkan rakyat menanggung beban kenaikan harga minyak mentah dunia sebaliknya kerajaan menikmati perolehan yang amat positif dari kenaikan itu.

Sebalikanya data-data dari kerajaan jelas menunjukkan kerajaan sebenarnya mampu dengan selesa menurunkan harga bahan bakar petrol dan diesel dengan meningkatkan subsidi setanding dengan peratusan kanaikan perolehan kerajaan.

Sebaliknya, kerajaan bertindak menaikan harga minyak. Rakyat dijanjikan dengan menanggung sendiri beban kenaikan harga minyak, kerajaan akan mempertingkatkan taraf hidup dan kualiti hidup penduduk menerusi pembiayaan projek-projek yang mampu meringankan beban rakyat.

Malangnya, walaupun terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak, rakyat tidak pula dapat menikmati janji-janji kerajaan itu. Projek-projek kerajaan yang diumumkan sering dibatalkan dan pembayar cukai dipaksa pula membayar ganti rugi akibat pembatalan kontrak-kontrak oleh kerajaan.

Apa yang jelas lagi bersuluh, beban rakyat bukanlah disebabkan kenaikan harga minyak tetapi disebabkan kebebalan dan sikap tidak bijak Kerajaan yang diterajui oleh Abdullah Haji Ahmad Badawi.

edyes wrote:

Salin dan tampal demi menyampaikan fakta kepada seluruh rakyat supaya mereka semua sedar bahwa kita ditipu hidup-hidup, siang-siang dan terang-terang !!

Dengan fakta ini, maka terbuktilah ada sesuatu yang berlaku disebalik pengagihan kekayaan Malaysia.

Kita bukan mahu kaya, tapi biarlah kekayaan negara dibahagi secara saksama. Kita tidak mahu lagi beban yang ditanggung rakyat demi kesenangan pemimpin, itu bukan resam orang yang berjasa !

Saya akhiri dengan serangkap pantun,

Harga minyak naik sedolar
Malaysia kita
untung berjuta
Tetapi apabila fakta diselar
ISA dan penjara serta merta

Apabila Berjuang Ikhlas Kerana-NYA

•June 15, 2008 • Leave a Comment

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan
Dilulus terbit pada Friday, June 13 @ 08:23:16 MYT oleh SongkokPutih

“Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.


Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :


1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
2. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
3. Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
4. Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
5. Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.
Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.
Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.
Al-Fatihah.

Bersabarlah Dengan Ujian

•June 14, 2008 • Leave a Comment

Sahabat, Kenapa engkau menyendiri di sudut sana? Kulihat dahimu berkerut memikirkan nasib diri yang engkau hadapi. Terkadang air matamu seperti air sungai yang mengalir deras di pipimu, hatimu penuh dengan keluh kesah. Engkau memandang ujian yang dihadapi selama ini amat berat, benar-benar menghimpit dan menyesakkan dada. Engkau ingin bahagia seperti orang lain, ingin ketawa dan sentiasa tersenyum, bahkan terkadang iri hati melihat orang lain sentiasa sahaja bergembira.

Sesekali engkau menceritakan betapa malang untung nasibmu, ’selalu sahaja tersandung ketika berjalan’. Engkau menceritakan menjadi harapan pada dua hati ibu ayah yang ingin melihatkan kejayaan anaknya. Takut benar melihat mereka kecewa apatah lagi menitiskan air mata. Bagimu teguran mereka apatah lagi air mata merupakan satu dosa besar yang tidak dapat diampunkan buat dirimu. Engkau diajar untuk mengejar kesempurnaan dengan usaha, bagimu dengan berusaha pasti akan berjaya. Lalu engkau lupa bahawa natijah setiap sesuatu itu bukan ditangan manusia, tetapi Dia.

Sahabat, jiwamu terkadang memberontak. Engkau akan memarahi orang lain yang tidak mempunyai apa-apa dosa pada dirimu. Engkau menyalahkan keadaan dan benci dengan alam sekelilingmu. Lalu bisikan-bisikan nafsu syaitan datang merayu, menghasut. Suka benar ia melihat manusia bersedih dengan kegagalan. Suka benar ia melihat engkau berduka dan menyalahkan takdir. Jahat benar bisikan itu yang mengajakmu untuk memutuskan nyawamu dengan membunuh diri sebagai jalan mudah untuk penyelesai masalah.


Wahai sahabat, dengan hanya menangis, mengeluh, engkau tidak akan mendapat apa-apa. Hatimu akan dirundung pilu sepanjang masa, dan pada masa itu akal dan fizikalmu akan melemah. Bagaimana engkau akan membina masa depan semula jika fikiranmu selalu sahaja memikirkan tentang kelemahan dan kekurangan diri? Benar, memikirkan kekurangan diri itu perlu untuk membina keyakinan dan memperbaiki diri, tetapi ia tidak akan dapat mengubah apa-apa hanya dengan air mata.

Sahabat, Tuhan telah memberitahu kita – bahawa setiap kesusahan itu diikuti dengan kemudahan, setiap ujian dan kegagalan hidup itu ada jalan keluarnya bagi orang yang bertaqwa. Lupakah engkau dengan qada’ dan qadar Tuhan?

Sahabat, hidup ini adalah amanah yang bukan milikmu sahaja, ada perkaitan dengan Tuhan, manusia dan makhluk Allah yang lain. Bukanlah satu kegagalan di dalam hidup jika engkau kesandung pada kali ini, malahan jika ia datang berkali-kali di dalam hidup.

Tidakkah engkau lihat bagaimana burung yang tidak berakal itu pada paginya tidak mempunyai apa-apa. Sepulang sahaja pada petangnya ia membawa makanan. Dari mana ia mendapatkan rezeki itu jika tidak ia berusaha dan yakin untuk mencarinya? Bahawa beburung yang berterbangan itu tidak ada yang menahannya kecuali Allah.

Lihat sahaja wahai sahabat, semut yang menangung beban gula 2 kali ganda berat badannya, tetap juga diusungnya dengan gigih dan sabar. Sesekali rezeki itu hilang entah kerana ada gangguan di jalanan. Terlepas lagi makanan untuk rakyatnya. Tidak pula ia berundur dengan tangan kosong sahaja, tetap juga ia bertasbih dan bertahmid kepada Allah tanda syukur. Pernahkah kita melihat semut ini membunuh dirinya sendiri hanya kerana ia gagal mendapatkan makanan? SubhanaLlah! Alangkah hebatnya Allah menjadikan binatang sekecil itu untuk dijadikan perbandingan kepada manusia.

Jangan pula engkau berani membuat hukuman buat dirimu sendiri padahal ia bukan hakmu untuk berbuat demikian. Sekali lagi kukatakan bahawa nyawa, jasad, rerambut, kuku malahan kulit ini bukanlah milik kita. Tidak mampu kita untuk memberi alasan apa di hadapan Tuhan di hari perhitungan nanti… belajarlah untuk menjadi seorang yang redha dan syukur di atas taqdirNya.

Sungguh Allah Maha Tahu mengapa Dia memberikan ujian kegagalan dan dugaan kepada kita. Terkadang dengan kejayaan boleh melalaikan kita untuk ingat kepadaNya. Berapa ramai yang menjadi takbur dengan kejayaan, dengan kekayaan seperti fir’aun yang bongkak dan mengaku dirinya Tuhan?!!

Allah memerintah Iblis untuk sujud (hormat) kepada Adam, tetapi ia congkak dengan kehebatan kejadian dirinya dari api dan Adam itu dari tanah. Sekurang-kurangnya jika engkau hilang segalanya dalam hidup, tetapi masih ada cahaya di dalam hati iaitu iman kepada Allah. Dikala itu, di hadapan Tuhan nanti, masih ada jawapan yang kukuh untuk engkau berikan agar selamat dari seksaan neraka….

Membuat Pilihan

•June 13, 2008 • Leave a Comment

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang saya mulakan blog baru saya secara rasminya pada hari ini. Alhamdulillah, niat untuk membangunkan satu blog baru telah lama hadir tapi baru hari ini saya berjaya. Segalanya bermula setelah saya menziarahi blog sahabat-sahabat saya yang mana rata-ratanya menggunakan alamat di wordpress.com. Saya berasa terpanggil untuk mencuba di alamat ini ternya ia lebih baik daripada blogspot.com di mana alamat lama blog saya bertapak. Bukanlah niat untuk membezakan mana-mana pihak tetapi dalam hidup kita apabila kita mendapati ada satu pilihan terbaik yang menanti di depan kita, kita tidak seharusnya melepaskan peluang tersebut sekiranya kita yakin dan pasti ia terbaik. Ternyata dalam hidup ini kita perlu membuat pilihan kerana terlalu banyak peluang-peluang yang ada di depan yang tidak mungkin kita garap semuanya. Namun jika kita bisa membolot semuanya, apa salahnya. ini cuma jika kita diberi pilihan, maka kita perlu bijak untuk memilih. Islam mengajar kita cara yang terbaik untuk membuat pilihan. Sememangnya dalam urusan membuat keputusan yang terbaik, sebaiknya perlulah kita memohon petunjuk daripada Allah moga-moga pilihan kita adalah pilihan yang tepat, terbaik dan diredhoinya.

Bercakap tentang membuat pilihan terbaik saya sebenarnya menghadapi masalah dalam memilih tema blog saya. Ternyata wordpress.com ini menyediakan tema yang terlalu banyak dan menarik. Saya sebenarnya mencari tema blog saya warna pink, tetapi tiada pilihan. Maka saya cuba tema ini. Namun saya masih boleh memilih tema lain kerana saya masih mempunyai banyak pilihan. Ini sekadar percubaan. Apapun omongan saya di atas hanyalah untuk mencuba ‘post new entry’ sahaja. Ini hanyalah sekadar percubaan. Oleh kerana saya masih baru dalam dunia bloggers, jadi masih banyak perlu belajar dan sememangnya hidup ini ‘Long Life Learning’. =)